Effy gadis Pilihan Hafiz AF

Dalam diam, keluarga penyanyi lagu Awan Nano, Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz merisik seorang gadis yang dikenali sebagai Effy, bulan lalu dan bakal bertunang, tidak lama lagi.


Sama seperti Hafiz, Effy yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga berasal dari Kuching, Sarawak.

Hafiz dan Effy dijadual bertunang di Hotel Pullman, Kuching, pada 27 Februari depan.

"Saya gembira memaklumkan bahawa saya akan bertunang dengan gadis bernama Effy, bulan depan. Effy berusia awal 20-an. Beliau sebenarnya mempunyai tali persaudaraan jauh dengan keluarga saya.

"Saya merancang mendirikan rumah tangga kira-kira dua tahun selepas bertunang.

"Ini kerana saya mahu Effy menamatkan pengajian dan mengecapi kerjayanya sebelum kami diijab kabul," katanya kepada pemberita selepas majlis sidang media Showcase Hafiz and Friends di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai perkenalan mereka, Hafiz memberitahu, mereka menjalin persahabatan sejak lima tahun lalu ketika beliau belum mencipta nama sebagai penyanyi.

Hafiz yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) berkata, beliau tertarik dengan Effy kerana gadis itu lemah lembut, matang dan paling utama, menghormati orang tua.


0 Response to "Effy gadis Pilihan Hafiz AF"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...