Kenaikan Elaun Anggota Parlimen Setimpal - Ahmad Maslan

Sebelum ini kecoh dengan kenyataan MP Datuk Seri Shahidan Kasim tentang beliau terpaksa mengikat perut kerana gaji serta elaun MP yang kurang. Kini Datuk Ahmad Maslan berkata kenaikan elaun anggota Parlimen adalah setimpal dengan tanggungjawab besar serta khidmat mereka kepada masyarakat.

Google Image
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata Anggota Parlimen sebenarnya tidak dibayar gaji sebaliknya hanya diberi elaun RM6,500 sebulan.

"Jumlah ini tidak adil bagi mereka yang perlu menjaga begitu ramai rakyat di kawasan (Parlimen) masing-masing," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan secara langsung malam ini.

Mengambil contoh kawasan Parlimennya di Pontian, Johor, Ahmad menjelaskan terdapat kira-kira 50,000 pengundi perlu diberi perhatian di kawasan itu.

"...katakan 50,000 ini didarab empat (anak dan isteri), jadi keseluruhannya 200,000 rakyat kawasan Pontian perlu saya jaga, tapi ada (Anggota Parlimen) yang lebih ramai lagi dari saya.

"Di Sabah dan Sarawak pula, walaupun angka pengundi tidak besar, namun kawasan mereka begitu luas... RM6,500 tak cukup untuk tampung kos-kos terlibat," katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2015 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kesemua 222 Anggota Parlimen diberi kenaikan elaun berkuat kuasa 1 Jan depan.

Menurutnya elaun Anggota Dewan Rakyat akan dinaikkan daripada bersamaan Gred 54 kepada bersamaan gred Jusa C manakala elaun anggota Dewan Negara akan dinaikkan daripada bersamaan gred 48 kepada bersamaan antara gred 54 dan Jusa C.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memberitahu gaji Perdana Menteri Malaysia adalah sebanyak RM22,000 sebulan yang bersamaan dengan gaji Presiden Zambia.

Gaji itu juga bersamaan dengan pendapatan pengurus besar bagi syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia, katanya.

Namun tahniah diucapkan kepada ahli Parlimen yang bekerja keras serta memastikan setiap elaun dan gaji anda untuk berkhidmat kepada rakyat. Tapi bagaimana pula mereka yang sering menimbulkan isu, tidak bekerja serta 'berbisnes' memenuhkan poket masing-masing?

0 Response to "Kenaikan Elaun Anggota Parlimen Setimpal - Ahmad Maslan"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...